Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
PPDB raikan Puja Usia DPMM
18/02/2025

dpmm_180225.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Ke-51 Tahun anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).


Berangkat sama di majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.


Turut hadir di majlis tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Keberangkatan tiba DYTM dan YTM berserta kerabat diraja dijunjung oleh Pemangku Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB dan Datin; serta Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan isteri.


Pada majlis berkenaan, DYTM berkenan untuk menandatangani 'Lembaran Kenangan' dan disusuli dengan sesi bergambar ramai.


Sambutan puja usia DYTM dimeriahkan dengan majlis memotong kek diiringi dengan nyanyian puja usia oleh pasukan koir yang terdiri daripada pegawai-pegawai PPDB.


Setelah itu, DYTM berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Pemangku Pesuruhjaya Polis PPDB.


DYTM dan YTM serta kerabat diraja kemudiannya dijunjung ke Pentas Bankuet bagi Majlis Santap.


Seluruh warga PPDB berserta keluarga dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan ucapan Selamat Hari Puja Usia ke-51 ke hadapan majlis DYTM serta merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar sentiasa melimpahkan rahmat dan mengurniakan kesihatan kepada DYTM berserta kerabat diraja.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto